Pada hari ini, saya dapat jemputan daripada pihak PERMATA Pintar UKM untuk memberi sedikit perkongsian pengalaman kepada beberapa pelajar dari tiga kelab yang berlainan. Saya banyak cerita tentang Matematik dan pengaturcaraan, terutamanya pada aplikasi Matematik dalam kehidupan. Tidaklah saya berkongsi apa-apa aplikasi sangat pun, cuma saya ajukan soalan tersebut kepada mereka.
:Semua di sini belajar Matematik kan?"
"Yaaaaa" jawab mereka.
"Ok sekarang cuba fikirkan, dalam banyak ilmu Matematik yang awak dah belajar, apa
aplikasinya?" kemudian kelas pun terus terdiam seketika. Masing-masing tengok kiri kanan dengan muka yang keliru.
Tak lama selepas itu, ada yang bersuara. "Untuk kerja?" Aizat cuba jawab.
"Untuk Prof?" jawab Jin Kai yang baru berumur 12 tahun. Suka saya untuk mendengar mereka mencuba. Setelah berbincang sedikit mengenai jawapan-jawapan mereka, saya berikan beberapa contoh daripada buku tulisan Jordan Ellenberg.
Setelah tamat sesi yang hanya berlangsung sejam tadi, Jin Kai dan Aizat datang bertemu saya. Aizat ingin tanya beberapa soalan, dan Jin Kai berminat untuk mendengar jawapan saya. Menurut Dr Sakinah, Aizat merupakan antara pelajar di PERMATA Pintar yang menyerlah. Dia lebih matang daripada rakan-rakannya yang lain, mempunyai banyak buah fikiran dan sudah mula berfikir tentang masa depannya. Sekarang dia mungkin dalam fasa menentukan minatnya dan bidang yang ingin diceburi.
Katanya, dia memang minat Matematik daripada dahulu, dan sejak akhir-akhir ini dia semakin berminat dengan kimia. Dia kata dia ada ambil personality test, dan ujian tersebut menunjukkan yang dia minat aktuari dan psikologi. Sebab itu dia tanya soalan tadi: bagaimana hendak tahu kita cenderung ke arah mana.
Kebetulan pada hari semalam, saya berjumpa dengan Dr Muriarti di Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, UKM. Kami berborak mengenai kelebihan-kelebihan pelajar Matematik sebab kami berdua dari aliran Matematik. Beliau juga memberikan saya banyak nasihat untuk saya yang bakal mengharungi alam PhD (insyaAllah jika semuanya berjalan lancar). Input-input yang saya dapat dari Dr Muriarti, beserta pengalaman saya sendiri, saya kongsikan dengan Aizat.
>>>><<<<
Having passion doesn't mean you don't have to work hard
Dalam buku Outlier yang ditulis oleh Malcolm Gladwell, beliau ada menceritakan tentang peraturan 10000 jam (10000-hour rule). Katanya, untuk menjadi pakar dalam suatu bidang tertentu, kita perlu menghabiskan masa dalam bidang tersebut sebanyak 10000 jam.
Bills Gate menghabiskan masa remajanya dengan membuat coding dan programming di kelab sekolahnya. Beliau juga curi masuk ke makmal komputer University of Washington untuk meneruskan ketagihannya dalam pengaturcaraan. Selama 8 tahun beliau berlatih pengaturcaraan tanpa henti, barulah beliau dapat sampai ke tahap yang lebih tinggi daripada orang lain. Silap kalau anda fikir yang dia berjaya sebab dia dropout dari college semata-mata.
Begitu juga dengan kumpulan Beatles. Pada tahun 1960, mereka masih tidak dikenali ramai dan hanya bermain di kelab-kelab. Tanpa henti, mereka terus bermain dan berlatih untuk jadi lebih baik. Mereka bermain muzik selama lapan jam sehari, tujuh hari seminggu pada tahun 1962. Pada tahun 1964, barulah mereka dapat melepasi kepada pendengar-pendengar di seluruh dunia.
Ramai yang silap dengan mempunyai fikiran yang semuanya akan jadi senang apabila kita ada minat. Sebenarnya, tidak ada benda yang terlalu senang sehinggakan kita tak perlu berusaha. Bezanya adalah apabila kita ada minat, kita akan mempunyai kesanggupan yang lebih tinggi untuk berusaha. Sedarkanlah diri yang untuk apa jua yang kita buat, kita perlu letak usaha dan jangan harapkan semuanya akan jadi mudah.
Follow your curiosity
Kita selalu dengar untuk follow your passion. Ia tak salah, tapi wujud juga pelajar-pelajar yang tidak pasti dengan apa yang mereka minat. Jadi bagaimana hendak menimbulkan minat tersebut, kalau kita tidak ada apa-apa? Kata Dr Muriarti, kita sebenarnya patut mulakan dengan perkara yang kita ada rasa ingin tahu. Semua orang ada perasaan ingin tahu (kecuali jika anda taknak ambil tahu langsung tentang apa-apa perkara) walaupun sedikit. Jika kita ada banyak perkara yang kita rasa kita ingin tahu lebih, cubalah untuk buat sedikit carian untuk tahu bidang yang mana yang kita paling ingin tahu, dan bolehlah pilih bidang tersebut sebagai permulaan. Kenapa permulaan?
(Cuba lihat video ini untuk sedikit inspirasi)
Degree is just a passport
Sebenarnya ramai yang mengambil bidang yang tidak sama dengan ijazah mereka untuk pengajian sarjana mereka. Kata Dr Muriarti, ada yang dahulunya ambil IT, kemudian pergi ambil psikologi untuk sarjana mereka. Saya sendiri akan ambil sarjana dalam sains komputer, walaupun ijazah dalam Matematik (memang ada kaitan tapi saja nak highlight perbezaannya).
Dalam kerjaya pun, tak semua orang akan mempunyai kerjaya yang berkaitan dengan bidang ijazah mereka (antara sebab kenapa orang kata CGPA itu tak penting). Lagi-lagi yang bekerja di syarikat atau yang membuat bisnes sendiri, kemahiran insaniah (soft skills) lebih diutamakan untuk kerjaya anda. Anda boleh lihat pada gambar di bawah untuk tahu apa yang majikan sebenarnya nak daripada para graduan.
Katakanlah anda tidak dapat ambil ijazah yang anda nak sebab anda dapat tawaran untuk program yang lain. Tidak mengapa! Mungkin anda boleh teruskan sahaja dahulu dengan ijazah tersebut, mana tahu anda dapat minat yang tidak disangka-sangka. Nak tukar program pun tiada masalah, tapi ikut kekosongan dan kebenaran Dekan.
Atau mungkin semasa anda buat ijazah, minat anda berubah ke arah lain. Apa-apa pun, anda jangan terlalu risau sebab anda masih boleh ceburi bidang yang anda minat pada peringkat sarjana. Kalau anda tak mahu sambung sarjana, sekurang-kurangnya anda sudah ada sijil ijazah. Perlu juga ingat yang minat kita bukan hanya pada satu benda sahaja, cuma mungkin yang kita boleh ceburi hanyalah satu dalam satu masa tertentu.
Ijazah bukanlah pengakhiran kepada fasa menuntut ilmu.
Bagaimana hendak tahu minat kita dalam bidang apa?
Banyakkan membaca
Yang ini sangat underrated. Saya lihat tak banyak mahasiswa yang minat membaca pelbagai buku. Walhal daripada buku-bukulah anda boleh jelajah pelbagai jenis bidang. Seronoknya membaca buku adalah daripada apabila kita dapat melihat dunia yang lebih meluas dalam suatu bidang yang kita minati, yang mungkin tidak dapat diperolehi dalam kuliah atau kelas.
Kata Dr Alinor, setiap mahasiswa perlulah membaca puluhan muka surat setiap hari. Dalam kelasnya dulu beliau kata 100 muka surat setiap hari. Yang penting ialah pembacaan yang banyak. Bukannya hanya baca novel-novel cinta Melayu!
Saya sendiri baru mula membaca pada umur 21. Sangat kuat kekesalan saya untuk tidak mula membaca pada umur yang lebih awal. Setakat pemerhatian saya, mereka yang banyak membaca juga mampu mengeluarkan idea-idea yang lebih matang dan lebih menarik untuk didengar daripada mereka yang kurang pembacaan. Berbahas dengan orang yang membaca juga lebih bertumpu dan bermakna.
Berbalik kepada minat. Cuba anda cari beberapa buku dalam bidang-bidang yang anda minat, dan buat bacaan sendiri. Daripada situ anda akan menjumpai minat anda, atau sekurang-kurangnya bidang yang anda mempunyai tahap ingin tahu yang paling tinggi. Tidak ada ruginya membaca buku ilmiah. Kalau anda pelajar universiti, rajinkanlah melawat perpustakaan univerisiti anda. Di Kinokuniya KLCC juga ada pelbagai jenis buku dalam pelbagai jenis bidang, kalau anda lebih berminat untuk beli buku sendiri.
Kalau anda memang sudah ada sifat membaca dalam diri anda, saya ucapkan tahniah. Kalau belum, saya sarankan anda untuk tanamkan sifat membaca daripada saat ini. Boleh lihat tips-tips daripada pelbagai website untuk bagaimana hendak mulakan. Saya sarankan yang ini dan ini.
>>>><<<<
Semasa saya cakap dengan Aizat tadi, ayat saya tidaklah sebanyak ayat-ayat saya di atas. Setakat yang boleh difahami oleh seorang pelajar Tingkatan 4 (Jin Kai mungkin angguk sahaja). Saya harap segala yang saya kongsikan dalam post ini juga berguna kepada pada pembaca.
Anda ada tips atau pengalaman yang anda ingin kongsikan? Ceritakanlah di ruangan komen!
Sumber gambar: http://www.l3analytics.com/2012/01/26/my-hopes-for-web-analytics-in-the-future/